9 Petua Doa Mustajab

Nukilan Mama Ain
Mutiara Doa: 9 petua doa mustajab



BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.



Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.” 



Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.



Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”



Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”



Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan.” 


Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.” 

Ata bin Abi Rabah berkata: “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” 
Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: “Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.” 

Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: “Pada hari Jumaat itu ada suatu saat bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”



Waktu Doa Mustajab



-Pada malam qadar (sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan)

-Pada hari Arafah (9 Zulhijjah ketika jemaah haji wuquf di Arafah)
-Pada bulan Ramadan
-Pada malam Jumaat
-Pada hari Jumaat
-Waktu berjumaat, lebih-lebih lagi ketika imam duduk di mimbar sampai imam mengucapkan salam
-Pada tengah malam
-Seperdua malam yang kedua (selepas jam 12 malam)
-Sepertiga malam yang pertama (jam 6 sampai 10 malam)
-Sepertiga malam yang terakhir (selepas jam 2 pagi)
-Pada waktu sahur (sebelum fajar)
-Sesudah berwuduk
-Ketika orang azan untuk solat
-Antara azan dan iqamat
-Ketika orang mengucapkan iqamat
-Ketika berbaris (berjalan bersama) menuju medan perang sabil
-Dalam pertempuran di malam perang
-Pada akhir tiap-tiap solat fardu
-Pada waktu sedang sujud (dalam solat atau di luar solat)
-Ketika sedang membaca al-Quran
-Ketika tamat membaca al-Quran
-Ketika minum air zamzam
-Pada waktu ayam jantan berkokok (pada waktu pagi)
-Pada saat berkumpulnya kaum Muslimin kerana agama
-Pada waktu berkumpul untuk berzikir (iaitu berkumpul untuk menyebut kebesaran Allah, bertakbir, bertahmid dan bertasbih, atau berkumpul membaca dan mempelajari al-Quran atau berkumpul menerima pelajaran agama Islam).
-Ketika menutupkan mata orang yang telah mati
-Pada waktu hujan turun

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Healthy R Us Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Emocutez