Mutiara Doa: 9 petua doa
mustajab
BERIKUT antara
sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.
Anas bin Malik
meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Doa antara azan dan iqamat tidak akan
ditolak.”
Sesungguhnya
Rasulullah bersabda: “Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu
sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa
kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta
keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.
Abu Hurairah
meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak ditolak doanya
iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang
dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”
Ibnu Abbas
meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Aku dilarang membaca al-Quran ketika
sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah
ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”
Hadis Abu Hurairah
r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah
kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. Jika
kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada
godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan.”
Ubadah bin
As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Sesiapa yang bangun
pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila
beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.”
Ata bin Abi Rabah
berkata: “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca
surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.”
Hadis daripada Abu
Hurairah, Rasulullah bersabda: “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia
tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: “Aku berdoa tetapi tidak
dimakbulkan.”
Hadis daripada Abu
Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda:
“Pada hari Jumaat itu ada suatu saat bila mana seorang Muslim dapat menepatinya
dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan
dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”
Waktu Doa Mustajab
-Pada malam qadar
(sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan)
-Pada hari Arafah (9
Zulhijjah ketika jemaah haji wuquf di Arafah)
-Pada bulan Ramadan
-Pada malam Jumaat
-Pada hari Jumaat
-Waktu berjumaat,
lebih-lebih lagi ketika imam duduk di mimbar sampai imam mengucapkan salam
-Pada tengah malam
-Seperdua malam
yang kedua (selepas jam 12 malam)
-Sepertiga malam
yang pertama (jam 6 sampai 10 malam)
-Sepertiga malam
yang terakhir (selepas jam 2 pagi)
-Pada waktu sahur
(sebelum fajar)
-Sesudah berwuduk
-Ketika orang azan
untuk solat
-Antara azan dan
iqamat
-Ketika orang
mengucapkan iqamat
-Ketika berbaris
(berjalan bersama) menuju medan perang sabil
-Dalam pertempuran
di malam perang
-Pada akhir
tiap-tiap solat fardu
-Pada waktu sedang
sujud (dalam solat atau di luar solat)
-Ketika sedang
membaca al-Quran
-Ketika tamat
membaca al-Quran
-Ketika minum air
zamzam
-Pada waktu ayam
jantan berkokok (pada waktu pagi)
-Pada saat
berkumpulnya kaum Muslimin kerana agama
-Pada waktu
berkumpul untuk berzikir (iaitu berkumpul untuk menyebut kebesaran Allah,
bertakbir, bertahmid dan bertasbih, atau berkumpul membaca dan mempelajari
al-Quran atau berkumpul menerima pelajaran agama Islam).
-Ketika menutupkan
mata orang yang telah mati
-Pada waktu hujan
turun