Jangan risau DEMAM KUNING (JAUNDIS)

Nukilan Mama Ain
Bayi Demam Kuning, Ibu Tak Perlu Risau

            

RAMAI ibu terutama yang baru saja melahirkan anak risau apabila bayi mereka mengalami jaundis. Terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjalani ujian darah sangat memenatkan. Lebih teruk apabila si ibu dan bayi terpaksa ditahan di hospital kerana harus menjalani rawatan fototerapi.

Apa yang membuatkan keadaan bertambah kusut apabila orang di sekeliling mencadangkan agar menggunakan pelbagai kaedah tradisional seperti bayi diberi minum susu kambing, berjemur di bawah matahari, mandi dengan air kunyit atau herba sehingga si ibu sendiri keliru mana satu yang harus diikuti. Petua ini mungkin juga berguna, mungkin juga sebaliknya atau akan membuatkan keadaan bertambah teruk.

Rata-rata ibu percaya kaedah tradisional sangat membantu bagi mengurangkan masalah demam kuning di kalangan bayi. Ini kerana wujud tekanan atau rasa panik bagi ibu apabila bacaan jaundis pada bayi semakin meningkat. Ini ditambah dengan kurangnya ilmu pengetahuan mengenai jaundis yang dianggap masalah serius pada bayi.

Menurut Pakar Kardiologi Pediatrik, Hospital Perubatan Pantai, Dr Azam Mohd Nor, jaundis atau demam kuning di kalangan bayi adalah perkara normal.Dianggarkan 60 hingga 70 peratus bayi baru lahir mengalami gejala ini. “Jaundis merujuk kepada bayi yang mempunyai tanda seperti bahagian putih mata dan kulit yang berwarna kekuningan. Warna ini dapat dilihat dengan lebih jelas pada bahagian muka, dada, perut dan kaki apabila kulit bayi ditekan lembut dan akan bertukar kekuningan,” katanya.

Bagi ibu-ibu muda, Dr Mohd Azam menasihatkan supaya jangan risau sekiranya selepas dua hari dilahirkan bayi mengalami demam kuning kerana ini adalah fenomena biasa apabila darah pada bayi menjadi rosak, pecah dan dicernakan di dalam hati. Pencernaan dan penguraian komponen dalam darah ini akan menghasilkan bilirubin.

“Biasanya bilirubin akan dibuang melalui najis dan air kencing. Tetapi apabila terdapat terlalu banyak darah yang rosak dan pecah kemudian dihuraikan secara serentak dalam satu masa, tahap bilirubin dalam darah akan meningkat. Peningkatan bilirubin inilah yang dapat dikesan melalui kekuningan pada tubuh bayi,” katanya.

Apa yang ibu bapa perlu tahu setiap bayi mempunyai tahap kuning berbeza dan akan mula dikesan pada hari kedua atau ketiga selepas kelahiran. Ia mula kelihatan dari kepala dan turun ke kaki. Jaundis akan kelihatan pada bahagian muka, diikuti dada, perut dan kaki.

“Pemeriksaan bayi untuk demam kuning biasanya boleh dibuat di dalam cahaya matahari atau di bawah lampu panjang putih (fluorescent) dan bukannya mentol kuning kerana ini akan menampakkan kulit bayi lebih kuning,” jelasnya.

Biasanya bacaan bilirubin akan meningkat pada hari ketiga, kelima dan ketujuh. Tahap bilirubin yang melebihi 85umo1/1 (5mg/dL) akan menunjukkan tanda kekuningan dan sekiranya meningkat kepada 100umo1/1 ia masih di dalam kawalan. Namun sekiranya dalam masa seminggu tahap bilirubin meningkat sehingga melebihi 340umo1/1 atau 21mg/dL, rawatan fototerapi akan diberikan.

“Bayi akan diletakkan di bawah lampu biru mengandungi 450 nano water dengan hanya memakai lampin dengan mata ditutup. Cahaya lampu ini berfungsi menukar bilirubin kepada biliverdin yang lebih ‘mesra tubuh’ dan akan dikumuhkan menerusi air kencing. Sekiranya rawatan fototerapi ini gagal menghalang daripada kenaikan tahap bilirubin sehingga mencecah 428umo1/1 atau 25mgd/L, rawatan pemindahan darah terpaksa dilakukan,” katanya.

Menurut Dr Azam, apabila pemindahan darah tidak dilakukan dan jaundis berlarutan sehingga 30 hari dikhuatiri bayi akan menghidap penyakit lain seperti radang hati, saluran darah tersumbat atau hepatitis. Lebih teruk sehingga menyebabkan kerosakan otak, sawan serta gangguan pendengaran.

Namun ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kini, kes pemindahan darah amat jarang berlaku. Ini kerana pemantauan daripada pihak hospital menyebabkan tahap bilirubin dapat dikurangkan selepas seminggu kelahiran.

Secara saintifik, antara faktor paras bilirubin pada bayi normal meningkat disebabkan oleh:

-Bayi tidak diberikan susu ibu sepenuhnya.

-Jaundis lebih kerap berlaku di kalangan bayi pramatang atau tidak cukup bulan berbanding bayi cukup bulan. Ini kerana hati tidak dapat memproses bilirubin dengan cepat. Usus mungkin tidak berfungsi sepenuhnya, terutama jika mereka sakit dan tidak disusukan.

-Sel darah merah bayi mempunyai tempoh hayat yang lebih pendek dan pecah dengan cepat. Biasa berlaku bagi bayi yang mempunyai G6PD.

-Lebam pada badan bayi yang disebabkan proses kelahiran seperti kaedah vakum yang menyebabkan banyak sel darah merah rosak dan perlu diganti.

-Darah ibu dan bayi tidak sesuai.

-Ibu menghidap kencing manis.

-Penggunaan oxytocin ketika proses kelahiran.

-Bayi lelaki Asia mempunyai peratusan demam kuning yang lebih tinggi dan kerap berbanding bayi perempuan.

-Ibu bapa perlu merujuk kepada doktor dengan segera sekiranya demam kuning dikesan dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran yang membabitkan bahagian tangan dan kaki, atau bayi demam melebihi 37.8 darjah Celsius atau bayi kelihatan lemah dan tidak sihat. Ini kerana jaundis dianggap serius dan memerlukan rawatan rapi.

“Ia boleh disebabkan masalah yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal, jangkitan atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pramatang sebelum 28 minggu,” ujarnya.

Ramai ibu bapa gembira apabila melihat bayi mereka tidur lena selepas dilahirkan.

Namun menurut Dr Mohd Azam, tidur yang nyenyak dan berpanjangan sepanjang hari akan menyebabkan bilirubin meningkat.

“Ini kerana bayi tidak dapat menyusu dengan kerap. Sebaiknya kejutkan bayi untuk menyusu sekerap mungkin. Semakin banyak susu ibu diberikan ini akan menggalakkan pergerakan usus dan menyebabkan bilirubin dapat dikeluarkan daripada tubuh menerusi najis. Penyusuan yang bagus apabila bayi disusukan setiap tiga jam sekali atau lapan hingga 12 kali sehari,” katanya.

Bayi jaundis perlu dipastikan agar tidak mengalami kekeringan akibat pengambilan cecair yang tidak mencukupi. Namun ibu dinasihatkan tidak memberikan air masak kerana air ini tidak memberi sebarang tenaga dan kesan positif kepada bayi.

Selain itu, bayi yang tidak pandai menghisap, puting susu tenggelam, pembedahan Caesarean, penggunaan ubat penahan sakit dan bayi yang tidak matang dengan daya menghisap yang lemah akan mendorong kepada peningkatan bilirubin.

Terdapat juga jaundis susu ibu yang mengakibatkan kelewatan atau memanjangkan tempoh pembuangan lebihan bilirubin melalui usus. Biasanya bermula daripada minggu kedua dan akan hilang selepas beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian. Walaupun mendapat susu mencukupi, bayi masih mendapat jaundis.

Jika kadar bilirubin terus meningkat, doktor mungkin menasihatkan untuk memberhentikan penyusuan badan selama dua atau tiga hari. Namun dalam masa ini, ibu dinasihatkan memerah susu bagi mengekalkan bekalan susu dan boleh meneruskan penyusuan apabila tahap bilirubin menurun.

Bagi menghasilkan susu ibu yang banyak serta berkualiti, ibu harus mendapatkan makanan berkhasiat dan seimbang supaya dapat menghasilkan susu yang banyak serta berkualiti. Paling penting, jangan risau atau tertekan kerana ini akan menyebabkan pengeluaran susu ibu merosot.

“Jangan sesekali memberikan susu formula pada bayi sebaik dilahirkan tetapi memberi lebih banyak rangsangan supaya bayi dapat menghisap dengan sempurna.
Dapatkan bantuan daripada pihak hospital mengenai teknik menyusu dengan betul serta cara merangsang proses pengeluaran susu,” nasihatnya.

Selain rawatan di hospital, terdapat pelbagai petua tradisional yang diamalkan ibu bapa. Sebaiknya ibu bapa jangan terus melakukannya tanpa mendapatkan pandangan daripada pakar terlebih dulu. Ini kerana ada antara amalan tradisional ini belum terbukti keberkesanannya. Antaranya:

Jemur bayi di bawah matahari

Ramai ibu percaya dengan menjemur bayi di bawah matahari dapat menghilangkan kekuningan. Namun ibu bapa harus memastikan melakukannya dalam waktu dibenarkan iaitu dari jam 8.30 pagi sehingga 9.30 pagi selama 10 hingga 15 minit saja.

Sekiranya bayi didedahkan terlalu lama, dikhuatiri akan menyebabkan masalah lain seperti kerosakan retina dan strok. Namun kebanyakan pakar perubatan tidak menggalakkannya kerana hanya cahaya lampu di hospital saja memberi kesan positif pada bayi.

Minum susu kambing

Memberi bayi minum susu kambing boleh memberi kesan kepada bayi. Ini kerana belum terdapat sebarang kajian menyatakan susu kambing mampu mengurangkan tahap bilirubin pada bayi. Malah pemberian yang keterlaluan akan menyebabkan masalah lain seperti cirit-birit atau radang usus.

Makan jamu dan halia

Banyak makan jamu yang tidak diketahui kandungan bahan kimia akan menyebabkan pengurangan enzim yang membantu dalam penyingkiran bilirubin apabila bayi disusukan. Begitu juga dengan halia yang boleh menyebabkan bilirubin meningkat.

Sebaiknya diambil dalam kadar sederhana saja.

Memberi air glukos pada bayi

Ramai mencadangkan supaya diberi air glukos kepada bayi bagi mengurangkan masalah demam kuning. Sebenarnya petua ini amat merbahaya kerana air glukos boleh menyebabkan perut kembung dan bilirubin tidak dapat dikeluarkan melalui najis.

source

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Healthy R Us Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Emocutez